KEMENTERIAN Kesihatan akan memastikan semua pembinaan hospital baru  dilengkapi kemudahan Kompleks Doktor Atas Panggilan bagi mengurangkan  bebanan kerja pegawai perubatan di hospital kerajaan.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin   berkata,  menerusi Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil 4/2010,  kementerian mengarahkan pengarah hospital menyediakan bilik khas supaya  doktor atas panggilan bertugas dengan lebih selesa.
“Kementerian mengarahkan semua ketua jabatan menyediakan kemudahan bilik doktor atas panggilan untuk mengurangkan tekanan kerja doktor pakar serta pegawai perubatan, selain menyediakan lebih ramai pegawai yang menjalankan tugas atas panggilan, tempat letak kereta selamat dan makanan, bergantung kepada keadaan semasa.
“Malah, ada hospital menyediakan lounge untuk doktor dilengkapi  kemudahan seperti televisyen, Internet dan sebagainya untuk keselesaan  doktor,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Lo’ Lo’ Mohamad  Ghazali (Pas-Titiwangsa) di Dewan Rakyat, semalam.
Katanya, pekeliling sama juga menjelaskan ‘Garis Panduan Bertugas Atas Panggilan Untuk Pegawai Perubatan dan Pegawai Perubatan Siswazah Di Hospital Kementerian Kesihatan’.
Katanya, garis panduan itu membolehkan pegawai perubatan yang bertugas atas panggilan aktif berehat atau ‘time off’ keesokannya hanya selepas menyelesaikan tugasan.

 



 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 



 
 
   

