SEATTLE, Amerika Syarikat (AS) - Orang ramai tersenyum, ketawa malah ada yang merah padam melihat sejenis basikal baharu yang ditunggang oleh seorang lelaki di sini.
Kenderaan dua roda sepanjang hampir 3 meter itu menyerupai sperma gergasi dan direka khas bagi mengangkut sampel sperma.
"Ketika kali pertama melihatnya, saya tidak pasti kenderaan apakah ini. Sebaik sahaja menyedarinya, saya tergelak besar," kata seorang wanita, Kim Garvelle.
Basikal milik Bank Sperma Seattle itu memiliki rekaan unik bagi menggalakkan kaum lelaki supaya mendermakan sperma mereka.
Menurut seorang kakitangan bank berkenaan, Alan Dowden, misi basikal berkenaan adalah untuk mengangkut sampel dari Makmal Sperma Seattle ke pusat reproduktif dan klinik kesuburan di kawasan sekitarnya.
Kargo penting itu diangkut dan disimpan di dalam tangki berbentuk sperma yang berisi nitrogen cecair di hadapan basikal berkenaan.
Pihak Bank Sperma Seattle menyatakan ia membayar AS$60 (RM186.75) untuk setiap sampel sperma yang baik.