PITTSBURGH, Amerika Syarikat (AS) - Sebanyak 4,000 helai coli  digantung di sepanjang sebuah jambatan di sini dalam kempen meningkatkan  kesedaran orang ramai mengenai bahaya penyakit barah payu dara, lapor  sebuah akhbar kelmarin.
Coli berbagai saiz dan beraneka warna itu berkibar ditiup angin  selepas digantung di atas wayar jambatan Hot Metal Bridge yang  menghubungkan sungai Monongahela dengan pusat bandar raya ini, negeri  Pennsylvania.
Semua coli tersebut akan digantung selama tiga minggu bermula  kelmarin sebelum pakaian dalam itu dicuci dan didermakan ke beberapa  rumah perlindungan wanita.
Coli-coli itu dibekalkan oleh pihak pengurusan syarikat pakaian  tempatan, American Eagle Outfitters yang bertanggungjawab mencetuskan  idea untuk mengadakan kempen tersebut.
Selepas coli-coli itu digantung kelmarin, ia berjaya menarik perhatian para pengguna jambatan berkenaan serta pihak media.
"Saya langsung tidak menyangka akan melihat sebegitu banyak coli.  Kempen ini hebat. Saya berhenti untuk merakam pemandangan unik ini,"  kata seorang pengguna jambatan tersebut, Monica Minetola. - Agensi 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 



 
 
   

